SIARAN TERTUNDA : SESI LIBAT URUS DAN TAKLIMAT TATAKELOLA DAN PELAKSANAAN KEBENARAN MERANCANG PERUBAHAN MATERIAL TANAH DAN BANGUNAN DI BAWAH KONSEP "EASE OF DOING BUSINESS" KEPADA ANAK-ANAK SYARIKAT KERAJAAN NEGERI PAHANG.
Sumber berita : Majlis Daerah Cameron Highlands
Foto oleh : Jabatan Perancangan, MDCH
CAMERON HIGHLANDS, 18 Disember 2025 - Satu Sesi Libat Urus dan Taklimat Tatakelola Kebenaran Merancang Perubahan Material Tanah dan Bangunan Di Bawah Sub Seksyen 22 (5) (a) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) Sebagai Salah Satu Bentuk Pemudahcaraan Berdasarkan Konsep "Ease of Doing Business" kepada Anak-Anak Syarikat (GLC) Kerajaan Negeri Pahang telah diadakan di Bilik Mesyuarat Nur Ilham, Pejabat Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH).
Tujuan sesi lihat urus dan taklimat tersebut diadakan adalah untuk memberi pendedahan pengetahuan dan pemahaman kepada semua GLC Kerajaan Negeri Pahang akan adanya satu bentuk pemudahcaraan yang dibenarkan oleh undang-undang di bawah Sub Seksyen 22 (5) (a) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) mengenai cadangan pemajuan dan aktiviti pemajuan bersifat sementara dengan tempoh terhad tertentu sebagai salah satu bentuk ruang dan peluang mengoptimumkan penggunaan awal tanah untuk menjana pelaburan pembangunan dan hasil pendapatan sementara menunggu cadangan atau bantahan terhadap pindaan zon guna tanah dipertimbangkan kelulusannya oleh Pihak Berkuasa Negeri melalui pengubahan atau penggantian Rancangan Tempatan sedia ada pada masa akan datang.
Sesi libat urus tersebut dipengerusikan oleh Setiausaha MDCH, Tuan Mazlan bin Mohamed Isa dan taklimat mengenai Tatakelola Kebenaran Merancang Perubahan Material (KMPM) pula disampaikan oleh En Ahmad Ridzuan bin Abd Mubin, Ketua Jabatan Perancangan MDCH.
Diharapkan ruang dan peluang pemudahcaraan di bawah konsep "Ease of Doing Business" yang dibenarkan oleh undang-undang tersebut dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh semua GLC terlibat demi pelaburan pembangunan strategik dan penjanaan hasil pendapatan negeri untuk kepentingan rakyat Pahang umumnya dan masyarakat di Cameron Highlands khususnya.












