MENU

CAMERON HIGHLANDS BELUM SEDIA MEWUJUDKAN TAMAN TEMA

KUANTAN, 9 OGOS 2021: Cadangan mewujudkan taman tema di Cameron Highlands dilihat tidak bersesuaian setelah beberapa faktor dikaji oleh Kerajaan Pahang.
 
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladagan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin berkata, pelbagai aspek perlu diambil kira termasuklah penjagaan alam sekitar dan kemudahan infrastruktur bagi menampung sejumlah pelancong yang tinggi dalam satu-satu masa.
 
“Setakat ini Cameron Highlands belum bersedia untuk menerima taman tema yang memerlukan kehadiran orang yang ramai kerana kekangan jalan, yang memang mengalami kesesakan lalulintas pada setiap hujung minggu,” katanya.
 
Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Program Latihan Reskilling Untuk Industri Pelancongan anjuran Tourism Pahang dan TNB-ILSAS di pejabat Tourism Pahang, di Kuantan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladagan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin.

Jelasnya, Pahang sudah memiliki dua taman tema yang popular di dalam negara iaitu Taman Tema Genting Highlands dan Taman Tema Gambang, justerus kewujudan taman tema yang baharu adalah tidak diperlukan pada masa ini.
 
Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan negeri tidak pernah menerima permohonan rasmi daripada mana-mana pihak untuk membina taman tema baharu di tanah tinggi Cameron Highlands.
 
YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar berkata, sekiranya kerajaan negeri menerima permohonan tersebut, kajian terperinci akan dilakukan terlebih dahulu dalam memastikan kawasan peranginan itu tidak terjejas.
 
Kerajaan akan meneliti pelbagai faktor termasuklah dalam aspek alam sekitar dan kesesakan lalu lintas sekiranya taman tema itu dibina.
 
Cadangan pembinaan taman tema itu turut menerima bantahan daripada orang ramai dengan melancarkan petisyen mendesak rancangan tersebut dihentikan dan lebih 20,000 tandatangan telah berjaya dikumpul.
 
Baru-baru ini media tempatan melaporkan, sebuah syarikat akan membangunkan taman tema terbesar di negara ini bertempat di Cameron Highlands melibatkan pelaburan melebihi RM100 juta dalam tempoh 10 tahun.
 
Projek tersebut dijangka meliputi kawasan lembah seluas 24 hektar dengan ketinggian 220 meter akan menjadi taman pengembaraan berasaskan alam semulajadi dan menawarkan pelbagai tarikan termasuk aktiviti ski yang pertama seumpamanya di rantau ini. – PAHANGMEDIA

Kemaskini Terakhir: Khamis, 29 September 2022 - 10:49am