CERAMAH AGAMA “KEBERKATAN KERJA, KEBERKATAN RAMADAN” MAJLIS DAERAH CAMERON HIGHLANDS TAHUN 2026 ANJURAN BERSAMA BADAN KEBAJIKAN DAN SUKAN PEKERJA-PEKERJA (BAKA)
Sumber berita : Majlis Daerah Cameron Highlands
Foto oleh : Unit Perhubungan Awam dan Pembangunan Masyarakat, MDCH
CAMERON HIGHLANDS, 17 Mac 2026 (Selasa) – Program ceramah agama bertajuk “Keberkatan Kerja, Keberkatan Ramadan” telah berlangsung dengan jayanya bertempat di Dewan Puncak Arabella, Tanah Rata hari ini dengan kehadiran yang menggalakkan daripada penjawat awam serta komuniti setempat.
Ceramah ini telah disampaikan oleh penceramah jemputan terkenal, YBhg. Dato’ Ustaz Mohd Kazim Elias Al Hafiz yang telah menyampaikan pengisian penuh bermakna berkaitan kepentingan keikhlasan dalam bekerja serta bagaimana keberkatan Ramadan mampu memperkukuhkan nilai integriti dan tanggungjawab dalam kehidupan seharian.
Program turut dikendalikan oleh moderator berpengalaman, Da’i Ahmad @ Ahmed Ibrahim bin Ahmad yang berjaya menghidupkan suasana ceramah dengan interaksi santai namun penuh ilmiah.
Ketibaan penceramah telah disambut oleh barisan kepimpinan daerah termasuk Setiausaha Majlis Daerah Cameron Highlands, Tuan Mazlan bin Mohamed Isa, Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, SUPT Azri bin Ramli serta wakil Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands, Encik Mohd Iqbal bin Zainal Abidin.
Program ini bertujuan untuk menyemai nilai keberkatan dalam pekerjaan khususnya dalam bulan Ramadan di samping memperkukuhkan hubungan silaturrahim antara jabatan kerajaan dan masyarakat setempat.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua jabatan kerajaan di daerah Cameron Highlands serta komuniti setempat yang telah hadir dan memeriahkan program ini.
Tidak dilupakan juga, penghargaan diberikan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan penganjuran program ceramah ini.
Semoga pengisian yang disampaikan dapat memberi manfaat berterusan serta menjadi panduan dalam meningkatkan keberkatan kerja dan kehidupan khususnya sepanjang bulan Ramadan yang penuh rahmat ini.













