MENU
MAJLIS PERPISAHAN PELAJAR PRAKTIKAL MAJLIS DAERAH CAMERON HIGHLANDS
 
Sumber Berita: Majlis Daerah Cameron Highlands
Foto Oleh: Unit Perhubungan Awam dan Pembangunan Masyarakat, MDCH
 
CAMERON HIGHLANDS, 11 Februari 2026 – Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) telah mengadakan satu Majlis Perpisahan Pelajar Praktikal bertempat di Dewan Makan MDCH pada hari ini sebagai tanda penghargaan atas sumbangan, komitmen serta dedikasi para pelajar praktikal sepanjang menjalani latihan industri di MDCH.
 
Majlis yang berlangsung dalam suasana mesra dan penuh bermakna ini diadakan bagi meraikan dua orang pelajar praktikal iaitu Encik Muhammad Syamim Haikal bin Muhammad Shafri daripada jurusan Diploma Pengurusan Perniagaan, Kolej Politech Mara (KPTM) Bangi dan Cik Kiruthikga a/p Asogan daripada jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang bakal menamatkan tempoh latihan industri masing-masing di MDCH tidak lama lagi.
 
Majlis dimulakan dengan ucapan daripada pelajar praktikal yang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan serta seluruh warga kerja MDCH atas bimbingan, tunjuk ajar dan pengalaman berharga yang diberikan sepanjang tempoh latihan industri. Mereka turut menyatakan bahawa pengalaman menjalani latihan di MDCH telah banyak membantu dalam meningkatkan kemahiran, pengetahuan serta memberi pendedahan sebenar kepada alam pekerjaan khususnya dalam sektor Pihak Berkuasa Tempatan.
 
Seterusnya, majlis diteruskan dengan ucapan daripada Yang Dipertua Majlis Daerah Cameron Highlands, Tuan Rudyfasla bin Hj. Mujid yang turut menzahirkan rasa bangga dan penghargaan terhadap kesungguhan, disiplin serta sikap profesional yang ditunjukkan oleh para pelajar praktikal sepanjang berada di MDCH. Beliau turut berharap agar segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh dapat dimanfaatkan sebagai persediaan menghadapi alam kerjaya pada masa hadapan.
 
Majlis turut dihadiri oleh Setiausaha MDCH, Tuan Mazlan bin Mohamed Isa, barisan ketua jabatan/bahagian/unit serta kakitangan MDCH.
 
Majlis perpisahan ini diharapkan dapat menjadi kenangan bermakna kepada para pelajar praktikal serta menjadi dorongan untuk mereka terus melangkah maju dalam bidang kerjaya yang diceburi pada masa akan datang.
 

mppp

mppp

mppp

mppp

mppp

mppp

mppp

mppp

mppp

mppp