KURSUS PEGAWAI PENYIASAT & PENYEDIAAN KERTAS SIASATAN (AKTA 172)
Sumber berita : Majlis Daerah Cameron Highlands
Foto oleh : Unit Perhubungan Awam dan Pembangunan Masyarakat, MDCH
CAMERON HIGHLANDS, 9 Februari 2026 – Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) telah menganjurkan Kursus Pegawai Penyiasat dan Penyediaan Kertas Siasatan bagi menjalankan penguatkuasaan serta tindakan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) selama dua (2) hari bermula hari ini bertempat di Bilik Mesyuarat Nur Ilham, MDCH.
Kursus ini melibatkan penyertaan pegawai dan kakitangan dalaman MDCH yang bertujuan memperkukuh kefahaman serta meningkatkan kecekapan pegawai dalam aspek penyiasatan, penyediaan kertas siasatan dan pelaksanaan tindakan penguatkuasaan selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Majlis perasmian kursus telah disempurnakan oleh Setiausaha MDCH, Tuan Mazlan bin Mohamed Isa. Kursus ini telah disampaikan oleh penceramah jemputan daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) iaitu Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Pematuhan Teknikal dan Dasar, Puan Siti Rahmah binti Md Yusoff, Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Pematuhan Teknikal dan Dasar, Encik Hazren bin Mohd Zahir serta Penolong Pegawai Senibina, Encik Mirza Arief Fadzillah bin Ahmad.
Penganjuran kursus ini diharap dapat meningkatkan tahap profesionalisme serta kecekapan pegawai dalam memastikan pembangunan di Cameron Highlands dilaksanakan secara terancang, teratur dan mematuhi peruntukan undang-undang yang ditetapkan.








