TAKLIMAT PENGENALAN DAN TATAKELOLA BERKAITAN PERMOHONAN KEBENARAN MERANCANG PERUBAHAN MATERIAL TANAH DAN PERUBAHAN MATERIAL BANGUNAN DI BAWAH SUB SEKSYEN 22 (5) (a) AKTA PERANCANGAN BANDAR DAN DESA 1976 (AKTA 172) UNTUK SEMUA JABATAN DAN AGENSI KERAJAAN.
Sumber berita : Majlis Daerah Cameron Highlands
Foto oleh : Unit Perhubungan Awam dan Pembangunan Masyarakat, MDCH
CAMERON HIGHLANDS, 03 Februari 2026 (Selasa) - Satu sesi taklimat mengenai Pengenalan dan Tatakelola berkaitan Permohonan Kebenaran Merancang Perubahan Material Tanah dan Perubahan Material Bangunan di bawah Sub Seksyen 22 (5) (a) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) telah diadakan di Bilik Mesyuarat Nur Ilham Pejabat Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH).
Sesi taklimat tersebut melibatkan semua jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan dengan perancangan keseluruhan jenis pemajuan atau pembangunan termasuk penyediaan infrastruktur serta kemudahan awam, aktiviti pertanian dan perhutanan. Ini merupakan sesi sebaran am dan perkongsian kali keempat (ke-4) oleh MDCH di mana sesi yang sama telah dilaksanakan di Mesyuarat Majlis Penuh, Sesi Taklimat Khas Bersama Ahli-Ahli Majlis dan Sesi Taklimat Khas Bersama Anak-Anak Syarikat Negeri Pahang.
Sesi taklimat tersebut telah dipengerusikan oleh Setiausaha MDCH, Tuan Mazlan bin Mohamed Isa. Manakala taklimat pula disampaikan oleh Encik Ahmad Ridzuan bin Abd Mubin, Ketua Jabatan Perancangan MDCH.
Semoga dengan adanya siri taklimat bersifat sebaran am dan perkongsian maklumat ini memberi pendedahan, pendidikan serta suai manfaat bersama diantara agensi kerajaan mengenai bidang perancangan bandar dan desa termasuk punca kuasa perundangan di peringkat Pihak Berkuasa Tempat (PBT).








