MAJLIS PENYERAHAN DAGING KAMBING SEMPENA PERAYAAN DEEPAVALI 2025
Sumber berita: Majlis Daerah Cameron Highlands
Foto oleh: Unit Perhubungan Awam dan Pembangunan Masyarakat, MDCH
CAMERON HIGHLANDS, 17 Oktober 2025 – Sempena sambutan perayaan Deepavali tahun ini, Badan Kebajikan dan Sukan Pekerja-Pekerja Majlis Daerah Cameron Highlands (BAKA) MDCH telah mengadakan satu majlis penyerahan daging kambing bertempat di Dewan Makan MDCH pada hari ini.
Majlis penyerahan sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Cameron Highlands, Tuan Rudyfasla bin Mujid serta diiringi oleh Setiausaha MDCH, Tuan Mazlan bin Mohamed Isa.
Seramai 10 orang kakitangan beragama India telah menerima sumbangan tersebut sebagai tanda keprihatinan serta semangat perpaduan dalam kalangan warga kerja MDCH. Inisiatif ini juga mencerminkan usaha berterusan pihak MDCH dalam meraikan kepelbagaian budaya serta memperkukuh keharmonian di tempat kerja.
Program tahunan seperti ini bukan sahaja bertujuan untuk meraikan perayaan masyarakat berbilang kaum tetapi juga sebagai platform mengeratkan hubungan silaturahim dan semangat kebersamaan antara semua warga MDCH.
Majlis berjalan dengan suasana mesra dan penuh makna, menggambarkan nilai kasih sayang serta semangat prihatin yang menjadi teras kepada organisasi Majlis Daerah Cameron Highlands.