LAWATAN TURUN PADANG BAGI PROJEK PEMBANGUNAN DI KAWASAN BRINCHANG
Sumber : Majlis Daerah Cameron Highlands
Foto oleh : Unit Perhubungan Awam dan Pembangunan Masyarakat, MDCH
CAMERON HIGHLANDS, 22 Disember 2025 – Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) telah mengadakan satu lawatan turun padang bagi meninjau cadangan projek pembangunan di kawasan Brinchang bermula pukul 3.30 petang.
Lawatan yang telah diketuai oleh Ahli Majlis MDCH, Encik Azizi bin Ahmad bertujuan untuk menyemak serta menilai cadangan menaik taraf dan mencantikkan kawasan Brinchang selaras dengan usaha berterusan MDCH dalam meningkatkan keselesaan, keselamatan serta imej kawasan tumpuan pelancong.
Turut hadir dalam lawatan ini ialah Ahli Majlis MDCH, Encik Rosli bin Alias, wakil daripada Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Bomba Daerah Cameron Highlands, ketua-ketua serta wakil-wakil daripada jabatan, bahagian dan unit dalaman MDCH.
Melalui lawatan ini, beberapa aspek penting telah dikenal pasti bagi memastikan perancangan pembangunan yang lebih teratur, mampan dan berimpak positif kepada penduduk setempat serta pengunjung.
MDCH berharap inisiatif yang dilaksanakan ini dapat memberi manfaat jangka panjang, meningkatkan kualiti persekitaran bandar serta menambah keindahan kawasan Brinchang sebagai salah satu destinasi utama di Cameron Highlands.













