MDCH TEMPAT KE-2 BANDAR PALING BAHAGIA DI NEGERI PAHANG.
KUANTAN, 6 November 2025 - Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) telah mendapat tempat ke-2 bagi Anugerah Bandar Paling Bahagia Tahun 2025 di Negeri Pahang. Anugerah tersebut dinobatkan sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Negeri Pahang Tahun 2025 yang diadakan di Hotel Zenith, Kuantan di sini hari ini.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Haji Wan Ismail melalui Yang Dipertua MDCH, Tuan Rudyfasla bin Haji Mujid.
MDCH turut membawa pulang cek sumbangan insentif dan penghargaan daripada Kerajaan Pahang bernilai RM10,000 bagi tujuan pengadaan satu mercu atau papan tanda makluman dengan tulisan "Selamat Datang ke Cameron Highlands Bandar Paling Bahagia Tahun 2025" di mana-mana lokasi sesuai dan terpilih di dalam daerah.
Semoga dengan penganugerahan dan pengiktirafan tersebut memberi semangat kepada warga Cameron Highlands dan MDCH untuk sama-sama terus memacu kecemerlangan daerah pada masa akan datang.








