MESYUARAT JAWATANKUASA BANDAR SELAMAT DAN KEJIRANAN HIJAU MAJLIS DAERAH CAMERON HIGHLANDS BILANGAN 2 TAHUN 2025.
Sumber berita : Majlis Daerah Cameron Highlands
Foto oleh : Jabatan Perancangan, MDCH
Cameron Highlands, 24 Oktober 2025 - Satu mesyuarat berkaitan Jawatankuasa Bandar Selamat dan Kejiranan Hijau Majlis Daerah Cameron Highlands Bilangan 2 Tahun 2025 telah diadakan di Bilik Mesyuarat Nur Ilham, Pejabat MDCH.
Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Ahli Majlis, En. Wan Shohaimi bin Wan Ismail dan dihadiri oleh semua ahli-ahli majlis jawatankuasa tersebut termasuk wakil daripada jabatan, bahagian serta unit dalaman dan luaran MDCH yang berkaitan dengan Program Bandar Selamat dan Program Kejiranan Hijau.
Mesyuarat dimulakan dengan taklimat daripada Ketua Jabatan Perancangan MDCH mengenai Pelaksanaan Inisiatif Kejiranan Hijau seperti pengadaan lorong pejalan kaki, lorong untuk berbasikal, kebun komuniti dan kejiranan, Sistem Pengumpulan Air Hujan (SPAH), pengkomposan sisa serta penggunaan teknologi hijau dan pintar.
Selain itu, antara perkara yang turut dibentang dan dibincangkan di dalam mesyuarat tersebut ialah Status Kemajuan Terkini Cadangan Projek Pemasangan CCTV di Bandar Brinchang, pelaporan Statistik Jenayah Indeks, pelaporan kemajuan projek, program, penyelenggaraan infrastruktur dan kemudahan awam serta landskap kelulusan Pelan Bangunan yang mematuhi"Crime Prevention Through Environmental Design (CPTED)", makluman pemasangan CCTV di kawasan pintu gerbang sempadan Cameron Highlands - Lipis dan sebagainya.
Selain itu, antara perkara yang menarik perhatian ialah kadar Statistik Jenayah Indeks yang sangat rendah di Cameron Highlands yang dijangka turut akan membantu menyumbang kepada pencapaian Penarafaan Kemampanan Bandar dan Anugerah Bandar Bahagia di bawah Program Murninets pada masa akan datang.
Walau bagaimanapun, isu kesesakan lalulintas dijangka akan memberi kesan kepada penilaian dan pemarkahan kemampanan bandar serta indeks kebahagiaan penduduk dan MDCH akan berusaha dengan semua agensi berkaitan untuk menangani isu tersebut.
Semoga segala usaha dan inisiatif untuk pencegahan jenayah dan meningkatkan kemampanan serta kejiranan hijau sentiasa mendapat sokongan dan kerjasama daripada semua pihak.








