SESI PERKONGSIAN OLEH SETIAUSAHA MAJLIS DAERAH CAMERON HIGHLANDS SEMASA KURSUS INDUKSI AHLI MAJLIS PIHAK BERKUASA TEMPATAN NEGERI PULAU PINANG 2026
Sumber berita: Majlis Daerah Cameron Highlands
Foto oleh: Unit Perhubungan Awam dan Pembangunan Masyarakat, MDCH
CAMERON HIGHLANDS, 27 Januari 2026 – Setiausaha Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH), Tuan Mazlan bin Mohamed Isa telah dijemput sebagai penceramah bagi Kursus Induksi Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Pulau Pinang Tahun 2026 yang berlangsung di Cameron Ballroom, Copthorne Cameron Highlands pada hari ini.
Tuan Mazlan telah dijemput sebagai penyampai taklimat pertama bagi sesi perkongsian MDCH bertajuk “MDCH Pemacu Pembangunan Lestari Cameron Highlands” yang memberi fokus kepada pendekatan, strategi serta pengalaman MDCH dalam mengimbangi pembangunan fizikal, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan komuniti setempat.
Dalam sesi tersebut, beliau turut berkongsi amalan terbaik (best practices) MDCH yang merangkumi aspek tadbir urus, perancangan pembangunan mampan, penguatkuasaan, penglibatan komuniti serta cabaran dan solusi yang dihadapi oleh PBT khususnya di kawasan tanah tinggi.
Kursus ini dianjurkan bagi memberi pendedahan awal kepada Ahli Majlis PBT Negeri Pulau Pinang berhubung peranan, tanggungjawab dan hala tuju strategik PBT dalam menyokong agenda pembangunan mampan sejajar dengan dasar kerajaan.
Majlis turut dihadiri oleh Yang Berhormat Tuan H’ng Mooi Lye, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa Negeri Pulau Pinang yang memberikan sokongan padu terhadap penganjuran kursus ini serta penekanan terhadap kepentingan pembangunan lestari dan tadbir urus yang baik.
Penyertaan dan perkongsian ilmu oleh Setiausaha MDCH ini mencerminkan pengiktirafan terhadap peranan serta kepakaran MDCH sebagai rujukan dalam pengurusan dan pembangunan mampan, sekali gus memperkukuh kerjasama serta jaringan antara PBT di peringkat negeri dan nasional.













