OPERASI PEMATUHAN HARGA PENIAGA BAZAR RAMADAN CAMERON HIGHLANDS
CAMERON HIGHLANDS, 26 Februari 2026 — Satu Operasi Pematuhan Harga Peniaga Bazar Ramadan telah dilaksanakan di sekitar Cameron Highlands oleh Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri KPDN Raub bermula pada pukul 4.30 petang hingga 5.30 petang. Operasi ini turut disertai oleh Ketua Jabatan Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Perbandaran MDCH serta Ketua Unit Penguatkuasa MDCH.
Sepanjang operasi dijalankan, pemeriksaan difokuskan kepada pematuhan paparan tanda harga yang jelas dan mudah dilihat, ketepatan harga yang dikenakan berbanding harga yang dipamerkan, serta pematuhan terhadap timbangan dan sukatan barangan jualan. Langkah ini penting bagi menjamin ketelusan harga, mengelakkan pencatutan dan memastikan pengguna tidak terbeban dengan kenaikan harga yang tidak munasabah, di samping menyokong amalan perniagaan yang beretika dalam kalangan peniaga bazar.
Hasil pemantauan mendapati majoriti peniaga memberikan kerjasama yang baik dan mematuhi peraturan yang ditetapkan. Beberapa peniaga turut diberikan nasihat serta peringatan supaya sentiasa memastikan tanda harga dipamerkan dengan jelas dan harga yang dikenakan adalah munasabah serta selari dengan peraturan semasa. Pendekatan ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan pematuhan secara berterusan dalam kalangan peniaga.
Operasi seumpama ini akan diteruskan secara berkala sepanjang Ramadan bagi memastikan kebajikan pengguna sentiasa terpelihara dan suasana perniagaan yang adil serta teratur dapat dikekalkan. Orang ramai juga digalakkan untuk melaporkan sebarang ketidakpatuhan harga atau salah laku peniaga bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil demi kepentingan bersama di Cameron Highlands.












