MAJLIS PENYERAHAN INISIATIF MAKMUR PAHANG
Sumber Berita: Majlis Daerah Cameron Highlands
Foto: Unit Perhubungan Awam dan Pembangunan Masyarakat, MDCH
CAMERON HIGHLANDS, 10 Februari 2026 – Majlis Penyerahan Inisiatif Makmur Pahang telah berlangsung dengan jayanya di Bilik Mesyuarat Nur Ilham, Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) pada hari ini.
Majlis ini melibatkan penyerahan inisiatif kepada enam (6) Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (Kampung Baru) iaitu JKKKB Lembah Bertam, Kuala Terla, Kampung Raja, Kea Farm, Ringlet dan Tringkap. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri Pahang dalam memperkasa pembangunan komuniti setempat serta meningkatkan kesejahteraan penduduk.
Penyerahan inisiatif tersebut telah disempurnakan oleh YB Tuan Ho Chi Yang 何子扬 , Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata selaku wakil rasmi YAB Menteri Besar Pahang dengan diiringi oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Cameron Highlands, Tuan Rudyfasla bin Hj. Mujid serta Setiausaha Majlis Daerah Cameron Highlands, Tuan Mazlan bin Mohamed Isa.
Diharapkan inisiatif yang disalurkan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh jawatankuasa kampung bagi menyokong pelaksanaan program pembangunan komuniti, memperkukuh tadbir urus setempat serta menyumbang ke arah pencapaian aspirasi Makmur Pahang secara inklusif dan mampan.













