KDPB SULTAN PAHANG, KDPB TENGKU AMPUAN PAHANG BERKENAN KE MAJLIS SANTAPAN TENGAH HARI
Sumber Berita: Majlis Daerah Cameron Highlands
Foto Oleh: Unit Perhubungan Awam dan Pembangunan Masyarakat, MDCH
TANAH RATA, 12 Februari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan berangkat ke Majlis Santapan Tengah Hari yang diadakan di Al-Mashoor Strawberry, Agro Bazaar Tanah Rata, di sini hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda berdua diiringi oleh Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan Binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera Binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana Alia Binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Majlis santapan tersebut berlangsung dalam suasana penuh mesra, mencerminkan keprihatinan serta kesudian Paduka Baginda berdua meluangkan masa bersama rakyat di daerah ini.
Usai santapan, Paduka Baginda berdua berkenan beramah mesra bersama para pengunjung serta mengunjungi gerai-gerai di sekitar. Kehadiran Seri Paduka Baginda nyata menceriakan para peniaga dan pengunjung yang tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dan merakamkan kenangan bersama Baginda.
Keberangkatan ini turut menyerlahkan sokongan berterusan institusi diraja terhadap sektor pelancongan dan perusahaan tempatan di Cameron Highlands, khususnya dalam memperkasa produk agro-pelancongan yang menjadi antara tarikan utama daerah ini.












