CAMERON HIGHLANDS, 28 April 2026 – Satu mesyuarat pemantauan berkaitan laporan penambahbaikan tatakelola amalan, sistem dan tatacara berhubung kerja-kerja pengurusan projek pembersihan cerun bukit telah diadakan di Bilik Mesyuarat Nur Ilham, Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) pada hari ini.
Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Yang Dipertua MDCH, Tuan Rudyfasla bin Haji Mujid. Turut hadir ialah Setiausaha MDCH, Encik Mazlan bin Mohamed Isa, Ketua Jabatan Perancangan MDCH, Encik Ahmad Ridzuan bin Ab. Mubin, Ketua Jabatan Khidmat Pengurusan, Encik Mohamad Hazizi bin Abd Rahim serta wakil Bahagian Integriti, Cik Ramizah binti Ishak.
Selain itu, mesyuarat ini turut disertai oleh wakil daripada Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Negeri Pahang iaitu Pegawai Geosains, Encik Muhammad Asriq bin Zaha Hamily.
Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Pahang juga telah hadir sebagai sebahagian daripada usaha pemantauan dan pengukuhan integriti yang diwakili oleh PS Mohd Hasbullah bin Mohd Hassim, KPKPs Nor Hasni Maria binti Ab Rahim dan PKPs Siti Noorakmar binti Saleh.
Mesyuarat ini bertujuan untuk menilai dan memantau pelaksanaan penambahbaikan dalam aspek tatakelola, sistem serta tatacara kerja berkaitan pengurusan projek pembersihan cerun bukit di Cameron Highlands. Inisiatif ini selaras dengan komitmen MDCH dalam memastikan setiap projek dilaksanakan secara lebih telus, sistematik dan berintegriti, di samping mematuhi garis panduan serta peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan.
Melalui sesi perbincangan ini, pelbagai cadangan penambahbaikan telah dikemukakan bagi memperkukuh kecekapan pengurusan projek serta meminimumkan risiko yang boleh menjejaskan kelestarian alam sekitar dan keselamatan awam di kawasan Cameron Highlands.
















