PENYERAHAN DAGING SEMPENA SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI 2026
Sumber berita : Majlis Daerah Cameron Highlands
Foto oleh : Jabatan Khidmat Pengurusan, MDCH
CAMERON HIGHLANDS, 18 Mac 2026 – Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) telah mengadakan program penyerahan daging sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026 yang berlangsung di perkarangan pejabat MDCH.
Program tersebut telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Cameron Highlands, Tuan Rudyfasla bin Hj Mujid yang diiringi oleh Setiausaha MDCH, Encik Mazlan bin Mohamed Isa. Penyerahan daging lembu tersebut telah diberikan kepada Ahli-Ahli Majlis dan seluruh pegawai serta kakitangan MDCH sejurus selepas selesai Mesyuarat Penuh Kali Ke-3 MDCH.
Inisiatif ini diadakan sebagai tanda penghargaan serta usaha mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga MDCH di samping menyemarakkan lagi suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.
Dalam pada itu, pihak MDCH turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh warga kerja serta masyarakat Cameron Highlands. Diharapkan agar sambutan Syawal pada tahun ini membawa kegembiraan, keberkatan dan memperkukuhkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan semua.
Orang ramai juga diseru agar terus mengamalkan nilai murni seperti saling menghormati, bekerjasama dan bantu-membantu dalam kehidupan bermasyarakat. Semangat Aidilfitri yang menekankan keinsafan, kemaafan dan kebersamaan wajar diteruskan dalam setiap aspek kehidupan seharian.
Semoga segala amalan dan usaha yang dilakukan mendapat keberkatan serta rahmat daripada Allah SWT, dan semoga hubungan silaturahim yang terjalin akan terus kukuh pada masa hadapan.












