MENU
MAJLIS PELUNCURAN KAMPUNG ANGKAT MADANI KAMPUNG ORANG ASLI CHENAN CHERAH BARU, CAMERON HIGHLANDS
 
Sumber berita : Majlis Daerah Cameron Highlands
Foto oleh : Unit Perhubungan Awam dan Pembangunan Masyarakat, MDCH
 
CAMERON HIGHLANDS, 7 Februari 2026 – Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI telah berlangsung dengan jayanya di Kampung Orang Asli Chenan Cherah Baru, Pos Telanok, hari ini sekali gus menzahirkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkasa pembangunan komuniti luar bandar secara inklusif dan mampan.
 
Majlis bersejarah ini telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Cameron Highlands, Tuan Rudyfasla bin Hj. Mujid selaku wakil rasmi YAB Menteri Besar Pahang. Dalam ucapan beliau, Tuan Rudyfasla menegaskan bahawa inisiatif Kampung Angkat MADANI merupakan platform strategik dalam memperkukuh kerjasama antara kerajaan, institusi pengajian tinggi serta komuniti setempat, khususnya dalam usaha meningkatkan kualiti hidup masyarakat Orang Asli.
 
Menurut beliau, pelaksanaan program ini diyakini mampu memberi impak positif jangka panjang melalui pendekatan pemindahan ilmu, pembangunan kemahiran serta penglibatan aktif komuniti dalam proses pembangunan setempat.
 
Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), YBhg. Prof. Ts. Dr. Aida bt Mustapha, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH), Dato’ Zaman Azam bin Mohamat Sarif @ Ahmat, Ketua Penolong Pegawai Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands, Puan Nor Atiqah bt Mat Yunus, wakil Pejabat Pembangunan Negeri Pahang, Puan Atirah binti Norhashim, serta wakil penduduk Kampung Chenan Cherah, Encik Sairun bin Bah Leg. Kehadiran barisan kepimpinan daerah dan ketua-ketua jabatan ini jelas menyerlahkan sokongan padu agensi kerajaan dan rakan strategik terhadap kejayaan pelaksanaan program ini.
 
Program Kampung Angkat MADANI memberi tumpuan kepada peningkatan taraf sosioekonomi, pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan penduduk Kampung Orang Asli Chenan Cherah Baru melalui pelbagai inisiatif berfokus termasuk pembangunan kemahiran, bimbingan pendidikan, pemerkasaan komuniti serta pelaksanaan projek komuniti berimpak tinggi secara berperingkat.
 
Peluncuran Kampung Angkat MADANI ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI bersama rakan strategik dalam memastikan pembangunan yang seimbang dan menyeluruh, sekali gus merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar demi kesejahteraan rakyat.
 

mpkam

mpkam

mpkam

mpkam

mpkam

mpkam

mpkam

mpkam

mpkam

mpkam

Kemaskini Terakhir: Isnin, 9 Februari 2026 - 2:46pm